ALOR SETAR, 28 Oktober- Penduduk beberapa buah kampung di Mukim Anak Bukit, Alor Setar, Kedah yang terjejas banjir merayu agar kerajaan dapat menyelesaikan segera masalah banjir yang dihadapi mereka saban tahun.
Mereka mendakwa sering kali berada dalam kebimbangan apabila tiba musim hujan berterusan sehingga musim tengkujuh.
Menurut penduduk Kampung Alor Gunong, Mohd Asrol Kharisman, situasi banjir terburuk dialaminya pada 2010, kembali berulang tahun lalu membabitkan lebih ratusan buah rumah penduduk.
Beliau berharap projek pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Anak Bukit dapat disiapkan dengan segera.
"Banjir di kawasan ini memang berulang setiap tahun, terutama akibat masalah sungai berdekatan. Tahun lepas paling teruk, berlaku empat kali manakala tahun ini situasinya lebih terkawal.
Walaupun keadaan masih boleh dikawal setakat ini, penduduk tetap perlu dipindahkan sementara menunggu projek pembaikan siap," kata Mohd Asrol kepada pemberita, hari ini.
Nada sama turut disuarakan dua suri rumah, Ramlah Husin dan Hazizah Mad Husin.
“Hujan beberapa hari lepas agak lebat sehingga paras air naik. Dulu, kalau hujan dua kali, air memang bah. Sekarang sedikit berkurang. Kalau projek pembaikan siap, bila mereka buka tanggul, air akan surut lagi," kata Ramlah Husin, suri rumah.
“Takut banjir berlaku lagi. Kalau boleh, kami tak mahu sentiasa dipindahkan. Memang susah dan penat nak pindah-pindah, tapi lega sikit bila rumah selamat dan air surut," kata Hazizah Mad Husin, suri rumah.
Mereka ditemui RTM selepas dibenarkan pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman apabila banjir telah surut.