KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Kerajaan dicadang untuk menyemak semula pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan mempertimbangkan pemberian automatik tambahan 300 liter petrol bersubsidi kepada pemandu e-hailing aktif yang memiliki Lesen Memandu Vokasional (PSV) dan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, semakan itu penting bagi memastikan subsidi bersasar benar-benar menepati kumpulan sasar, terutama mereka yang bergantung sepenuhnya kepada sektor e-hailing sebagai punca pendapatan.
"Saya mencadangkan supaya pemandu yang memiliki PSV dan EVP diberi terus tambahan 300 liter di bawah BUDI95, menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter sebulan bagi kategori e-hailing aktif," katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar, di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, penilaian semasa terhadap penggunaan petrol pemandu e-hailing dilihat belum mengambil kira faktor-faktor operasi harian seperti pembatalan tempahan, kesesakan lalu lintas serta jarak perjalanan ke lokasi penumpang.
Terdahulu, kerajaan memaklumkan bahawa kelayakan bagi kuota tambahan di bawah BUDI95 untuk pemandu e-hailing dan p-hailing akan dinilai berdasarkan tahap penggunaan bahan api individu.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.