fb fb fb fb fb

ASEAN kekal dengan prinsip keterlibatan, dialog terbuka tanpa mengira perbezaan politik - PM

Wakil media mengambil peluang untuk bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sidang media Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - ASEAN kekal berpegang kepada prinsip keterlibatan dan dialog terbuka antara semua pihak, tanpa mengira perbezaan pendirian politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang dianjurkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menunjukkan kesediaan rantau ini untuk terus berinteraksi dan mendengar pandangan semua negara, termasuk yang berbeza pendirian.

"Kita ada Presiden Rusia, Presiden Myanmar, Amerika Syarikat, China dan negara-negara lain. Namun, kita tidak mempunyai mesyuarat serantau bersama presiden mereka. Dalam beberapa mesyuarat, apabila wakil Myanmar masuk, ada negara lain yang keluar. Dalam sesetengah mesyuarat pula, apabila Rusia hadir, ada yang tidak hadir sama sekali. Ini menunjukkan bahawa dalam konsep Sidang Kemuncak Asia Timur anjuran ASEAN, sekurang-kurangnya ada kesediaan untuk berinteraksi dan mendengar pandangan. Anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju, tetapi itulah pendirian kita," kata beliau pada sidang media penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini hari ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, sidang kemuncak itu memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, selain menjadi platform untuk memfasilitasi serta mempercepat proses rundingan dengan semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, ketidakhadiran beberapa pemimpin dalam sidang berkenaan tidak harus dilihat sebagai provokasi.

ASEAN juga bertegas bahawa rantau ini tidak boleh dijadikan medan perebutan kuasa besar.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN