Kuala Lumpur, 28 Oktober – Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin diplomasi damai serantau serta rakan yang berprinsip dan berwibawa di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berlangsung dalam suasana yang terbuka, jujur dan produktif.
Sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap peranan Malaysia dalam membina keamanan dan kemakmuran serantau.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, beliau turut menekankan kejayaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand sebagai satu pencapaian bersejarah yang menyerlahkan keupayaan Malaysia sebagai pemangkin diplomasi damai ASEAN serta simbol kesepaduan rantau dalam menjunjung keamanan dan kestabilan.
Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Trump atas komitmennya dalam memajukan Pelan Damai Gaza, yang diharap dapat menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
“Mesej saya jelas, Palestin harus selamat, merdeka dan berdaulat,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam dan sektor swasta atas komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan yang berakhir hari ini.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah yang berwibawa, tetapi juga lambang kesepaduan rakyat dalam mengharumkan nama negara di pentas dunia,” ujar beliau.
Beliau menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip kemanusiaan sejagat, memperjuangkan keamanan yang adil dan berkekalan, serta memperkukuh solidariti ASEAN sebagai jambatan ke arah dunia yang aman, makmur dan bermaruah.