fb fb fb fb fb

Ramos-Horta negarawan berani, bermoral tinggi - PM

Kemesraan jelas terpampang di wajah dua pemimpin, Jose Ramos-Horta (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 28 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta sebagai seorang negarawan yang memiliki keberanian luar biasa dan pegangan moral yang jelas.

"Dunia hari ini kekurangan suara yang berpaksikan nurani dan
moral yang jelas. Namun lelaki ini, Ramos-Horta, memiliki apa yang dunia perlukan," kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam amal bertemakan "Timor-Leste: Building a Shared Future with ASEAN" di sini.

Menurut Datuk Seri Anwar, keteguhan, keberanian dan kepercayaan diri yang dimiliki Ramos-Horta menjadikannya satu sosok istimewa yang mampu menjadi teladan kepada pemimpin lain di rantau ini.

Perdana Menteri turut menyuarakan sokongan berprinsip Malaysia terhadap kemasukan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, sambil menyifatkannya sebagai keutamaan beliau selaku Pengerusi ASEAN.

"Saya mahu anda berjaya kerana saya mahu sahabat yang berpegang kepada kejelasan moral. Sejak awal memegang jawatan Pengerusi, saya tekankan kepada pasukan Wisma Putra dan Kabinet bahawa sebelum kita serah tugas, Timor-Leste mesti diterima sebagai anggota penuh ASEAN," jelasnya.

Mengakui proses itu tidak mudah, Datuk Seri Anwar menegaskan, Malaysia akan terus membantu dan berdiri teguh bersama
Timor-Leste dalam usaha pembinaan negara dan integrasi serantau.

"Kita hulurkan bantuan melalui Sekretariat ASEAN di Jakarta, menghantar pegawai dan menyumbang dana. Inilah erti persahabatan dan kemanusiaan," kata Perdana Menteri.

Beliau turut menggesa syarikat-syarikat Malaysia yang ingin melabur di Timor-Leste agar berbuat demikian secara bertanggungjawab dan beretika.

"Pelabur kita jangan berlagak seperti penjajah baharu. Keuntungan memang penting, tetapi mesti ada pemindahan teknologi, latihan kepada belia tempatan dan sumbangan kepada masyarakat,” ujar Datuk Seri Anwar.

Sementara itu, Ramos-Horta menzahirkan penghargaan kepada
Malaysia atas sokongan berterusan sejak zaman perjuangan kemerdekaan hingga kini, serta menyifatkan Datuk Anwar sebagai mentornya.

Beliau turut mengundang pelabur Malaysia untuk meneroka
peluang di Timor-Leste yang kini "secara rasmi terbuka untuk perniagaan", khususnya dalam sektor minyak dan gas, pertanian, kopi, dan pelancongan.

Majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan kemasukan
rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN serta mengutip dana untuk Timor-Leste Foundation for Children’s Future, sebuah inisiatif yang diterajui oleh Ramos-Horta.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil;
Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

EMMI NORALIZA ADNAN