SEPANG, 28 Oktober - Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia sebagai tetamu Pengerusi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
Pesawat khas yang membawa Lula berlepas pada pukul 8.15 pagi selepas beliau diberi penghormatan karpet merah, termasuk tabik hormat daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut hadir di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Brazil dan delegasinya.
Lawatan rasmi itu merupakan lawatan yang pertama oleh Lula ke Malaysia sejak beliau kembali menerajui pentadbiran Brazil pada Januari 2023.
Dalam sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam, Lula menyatakan sokongan padu terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok BRICS.
Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang berkongsi nilai bersama serta berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi.
Pada 24 Oktober 2024, Malaysia diktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi disenaraikan sebagai negara rakan kepada BRICS blok ekonomi yang mewakili kira-kira satu perlima perdagangan dunia.
BRICS merujuk kepada kumpulan ekonomi sedang pesat membangun yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Sebagai Pengerusi BRICS, Lula merupakan Presiden Brazil pertama yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sejak negaranya menjadi rakan dialog sektoral blok berkenaan pada 2022.
Sebagai negara terbesar di Amerika Selatan, beliau menegaskan Brazil komited untuk bekerjasama dengan semua global bagi menggalakkan penglibatan dan kerjasama global yang lebih luas dalam menghadapi perubahan ketertiban dunia serta menolak polarisasi geopolitik.
Lula turut memaklumkan bahawa perdagangan dua hala antara Brazil dan negara rakan utamanya, termasuk Malaysia, berjumlah sekitar US$12 bilion, yang disifatkannya masih sederhana berbanding kekuatan ekonomi pasaran berkenaan.
Pada tahun 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah perdagangan mencecah RM20.36 bilion (US$4.46 bilion).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung mulai 26 Oktober menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Brazil dan Afrika Selatan bagi memperkukuh kerjasama serantau serta membincangkan isu global yang menjadi perhatian bersama.