PETALING JAYA, 28 Oktober - Libat urus bersama sektor swasta dan pakar serantau akan diperkasa, ke arah reformasi tadbir urus yang lebih baik di peringkat serantau.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata inisiatif itu dilaksana bagi memperkukuh rangka kerja tadbir urus dan menangani persepsi negatif terhadap rasuah di Malaysia serta rantau ASEAN.
Jelasnya, komitmen itu mencerminkan peranan Malaysia selaku pengerusi Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) dalam memupuk integriti melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta, bukan hanya penguatkuasaan semata-mata.
"Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, perkara pertama adalah perlunya untuk membasmi rasuah. Ia memang tidak boleh dinafikan. Tetapi, seiring dengan itu kita perlu memperbaharui, mempertingkatkan undang-undang dan tadbir urus.
"Kita juga menjempu ramai pakar, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP), Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), dan wakil dari negara-negara ASEAN ini untuk mereka berkongsi pengalaman mereka, bagi membentangkan pelan tindakan mereka pada mesyuarat yang berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pembukaan dan penyerahan tugas Pengerusi Mesyuarat Ketua-Ketua ASEAN-PAC ke-21 di sini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tan Sri Azam menegaskan komitmen bahawa aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 perlu bertunjangkan integriti dan tadbir urus yang baik.