fb fb fb fb fb

Tan Sri Azam individu paling sesuai pimpin SPRM- PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 23 Mei- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diyakini sebagai individu yang paling sesuai memimpin SPRM, berikutan keberanian beliau khususnya dalam menangani rasuah melibatkan individu berprofil tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sifat tersebut merupakan elemen penting bagi memastikan keberkesanan fungsi SPRM.

Mandat yang telah diberikan kepada Tan Sri Azam sebagai ketua pesuruhjaya wajar diteruskan dengan sokongan dan kepercayaan penuh.

Ia selaras dengan komitmen kerajaan dalam membanteras jenayah rasuah secara menyeluruh.

Usaha itu juga penting dalam memperkukuh nilai integriti serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

"Saya tidak nafikan teguran-teguran dan isu yang dibangkitkan, tapi percayalah saudara, melihat kepada perkembangan SPRM sejak puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke-tauke besar.

"Ya, ini kenyataan saudara. Saya boleh ganti, saya boleh bincang dengan kawan-kawan, kita boleh ganti esok.

"Tapi saya tak yakin yang baharu-baharu itu boleh menyinggung tauke-tauke yang mempunyai berbilion-bilion ringgit kekayaannya. Keluarga-keluarga orang-orang besar, tan sri-tan sri, tun-tun, pembesar-pembesar.

"Jadi bagi saya, beri ruang sekejap bagi orang yang diberi amanah untuk ambil tindakan yang berani," katanya.

Datuk Seri Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata demikian dalam ucapan dasar presiden dan perasmian Kongres Nasional parti itu di Persada Johor di sini, malam tadi.

Terdahulu, Tan Sri Azam sekali lagi diberi mandat menerajui SPRM, selepas disambung kontrak perkhidmatannya bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa 13 Mei lalu hingga 12 Mei tahun hadapan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM