fb fb fb fb fb

Nurul Ain, suami zahir terima kasih kepada Kerajaan Malaysia - PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 November- Warga Malaysia, Nurul Ain Haron dan suaminya, Mohamed A.M. Shaat yang terkandas di Gaza sejak 7 Oktober lalu dan selamat dibawa keluar dari wilayah bergolak itu hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia.

Penghargaan itu disampaikan menerusi perbualan mereka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan video, awal pagi tadi.

"Alhamdulillah pada awal pagi ini, 13 Nov 2023, saya telah berkesempatan melangsungkan panggilan video dengan Puan Nurul Ain Haron, rakyat kita yang terkandas di Semenanjung Gaza sejak perang meletus lebih sebulan yang lalu.

"Beliau dan suaminya, Mohamed A.M. Shaat seorang warga Palestin telah berjaya dibawa keluar pada malam Ahad, 12 Nov di sempadan Rafah.

"Dalam perbualan kami, Puan Nurul dan suaminya telah menyampaikan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang sedaya upaya memastikannya dan suami selamat dibawa keluar dari Gaza," jelas Anwar dalam Facebooknya.

Kedua-dua mereka turut merakamkan rasa terima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa keluar dari zon perang dapat dilakukan.

"Dalam konteks ini, saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih Kerajaan Malaysia kepada beberapa buah negara lain yang tidak ketinggalan menghulurkan apa juga bantuan dalam proses membawa keluar rakyat Malaysia ini. Syukur kepada Allah SWT jua," tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN:
Rakyat Malaysia di Gaza selamat dievakuasi melalui lintasan sempadan Rafah
Konflik Palestin-Israel: Wisma Putra usahakan evakuasi Dr Nurul Ain

SITI AISHAH BINTI MD ISA