BATU BERENDAM, 13 November- Sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV) sedang diperluas tidak hanya terhad di darat malah merangkumi pengangkutan laut seperti bot atau feri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata usaha itu membolehkan negara menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat pengeluar bateri selain pemasangan kenderaan EV.
Jelasnya, ia sejajar dengan komitmen kerajaan memastikan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Malaysia kita nak menarik pelaburan dalam EV, banyak ekosistem EV ini yang perlu kita tarik pelaburan termasuk pengeluaran bateri pemasangan kenderaan EV, memang itu semua adalah satu potensi yang cukup besar untuk negara kita dan memang kita mengharapkan bahawa dapat kita perbesarkan lagi pasaran EV ini. Jadi sekarang ini bukan sahaja EV untuk kenderaan darat untuk kereta tetapi untuk bot pun boleh pakai konsep elektrik bot," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pelancaran Bot ‘Hydroglyder’ yang menggunakan teknologi elektrik di Batu Berendam di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata Kementerian Pengangkutan (MoT) akan menyokong sebarang usaha dilakukan kerajaan negeri Melaka untuk menarik pelaburan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.
Beliau sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang cuba menarik pelaburan daripada sebuah syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTAM.
“Di peringkat kerajaan Persekutuan, kita terbuka untuk melihat bagaimana menyokong pelaburan ini di Melaka. Apabila pelabur ini, jika mereka benar-benar mahu melabur di Melaka, maka saya akan cuba membantu untuk urusan dengan MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad),” katanya.
Anthony bagaimanapun tidak memperincikan mengenai bentuk pelaburan yang sedang dibincangkan antara kerajaan negeri Melaka dengan syarikat tersebut.
Sebelum ini media melaporkan LTAM menghentikan operasi pesawat komersial dengan penerbangan terakhir ke Pulau Pinang pada Jun lepas, manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos.
Ia berikutan ketiadaan perjanjian rasmi dengan kerajaan negeri menjadi antara punca syarikat penerbangan komersial bertindak sesuka hati menamatkan perkhidmatan mereka di lapangan terbang itu.