fb fb fb fb fb

Konflik Palestin-Israel: Wisma Putra usahakan evakuasi Dr Nurul Ain

(Zambry Abdul Kadir)

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Proses evakuasi untuk membawa pulang seorang doktor rakyat Malaysia yang kini berada di Semenanjung Gaza, Palestin sedang dipergiat oleh Wisma Putra.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha membawa keluar Dr Nurul Ain Latif sedang dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Filipina di sana.

"Setakat ini, ada lima rakyat Malaysia yang berada dalam laporan kita. Pertama, seorang ibu dengan tiga orang anak yang memegang pasport Malaysia berada dalam kawasan konflik.

"Kedutaan Besar Malaysia telah dapat menghubungi Dr Nurul Ain. Beliau berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan telah berkahwin dengan warga Palestin. Keadaan mereka berada di tempat yang selamat.

"Kita sedang berusaha melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain (dengan) mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama lapan keluarga warga Indonesia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zambry menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin yang ingin mengetahui usaha kerajaan dalam konflik berkenaan.

Semalam Wisma Putra mengesahkan lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita, selain seorang ibu bersama tiga anaknya yang berada di Tebing Barat ketika ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan Malaysia akan menyampaikan sumbangan awal RM1 juta daripada dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi meringankan beban rakyat Palestin.

Bantuan tersebut akan disampaikan bagi pihak rakyat negara ini kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di lobi Parlimen hari ini.

(FOTO AFP)

Media Baharu