fb fb fb fb fb

Konflik Palestin-Israel: 11 pekerja, sukarelawan bantuan PBB terbunuh

(Petugas, sukarelawan Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit
Merah Antarabangsa (IFRC)/FOTO REUTERS)

GENEVA, 12 Oktober - Sebelas pekerja Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Sabtu lalu, dan lima sukarelawan Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) turut terbunuh dalam konflik terbaharu itu.

Menurut IFRC, lima anggotanya yang terkorban melibatkan empat mangsa di Gaza dan seorang di Israel.

"Kami amat sedih untuk mengesahkan bahawa 11 rakan UNRWA telah terbunuh sejak 7 Oktober di Semenanjung Gaza," menurut UNWRA dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, UNRWA tidak menyatakan sama ada mereka adalah kakitangan Palestin atau warga asing.

Dilaporkan mereka yang terkorban adalah lima orang guru di sekolah UNRWA, seorang pakar sakit puan, seorang jurutera, satu kaunselor psikologi dan tiga kakitangan sokongan.

"Ada yang terbunuh di rumah mereka bersama keluarga. UNRWA meratapi kehilangan ini dan berduka atas kehilangan rakan sekerja dan keluarga kami," katanya.

Lebih 175,500 penduduk di Gaza berlindung di 88 sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

"Jumlah itu terus meningkat apabila serangan udara berterusan daripada Tentera Udara Israel," katanya.

"Kakitangan UNRWA bekerja sepanjang masa untuk memenuhi keperluan pelarian di tempat perlindungan yang sesak selain mempunyai bekalan makanan yang terhad termasuk barangan asas lain dan air minuman," katanya.


(Bangunan terjejas akibat serangan Israel ke atas penduduk
Semenanjung Gaza/FOTO REUTERS)

Ditubuhkan pada 1949, UNRWA diberi mandat untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.

UNRWA berkata dua sekolahnya terjejas dalam serangan itu menjadikan keseluruhan kemusnahan adalah 20 buah sekolah.

Semua sekolah yang beroperasi di seluruh Semenanjung Gaza masih ditutup. - REUTERS

Media Baharu