fb fb fb fb fb

Pemimpin Arab Saudi – Iran bincang tamatkan konflik terbaharu Israel-Palestin

(Penduduk Sepanyol berhimpun membantah serangan di Gaza/Foto AFP)

RIYADH, 12 Oktober – Pemerintah Arab Saudi dan Presiden Iran mengadakan perbincangan melalui telefon berhubung konflik terbaharu antara Israel dan pejuang rakyat Palestin Hamas, perbincangan pertama sejak menjalin semula hubungan baharu pada Mac lalu.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman telah menerima panggilan telefon daripada pemimpin Iran, Ebrahim Raisi pada Rabu dan mereka membincangkan “situasi ketenteraan semasa di Gaza dan kawasan sekitarnya,” menurut Agensi Akhbar Saudi (SPA)

Putera Mohammed memberitahu Raisi bahawa Riyadh sedang berkomunikasi dengan semua pihak di peringkat antarabangsa dan serantau bagi menghentikan peningkatan konflik yang berterusan", kata SPA.

Beliau turut menegaskan bahawa "kerajaan konsisten ke arah menyokong perjuangan Palestin.”

Agensi berita Iran, IRNA turut melaporkan perkara sama, menyatakan bahawa ke dua-dua pemimpin itu membincangkan “keperluan untuk menamatkan jenayah perang ke atas Palestin.

Sabtu lalu, pejuang Hamas telah melancarkan serangan mengejut ke kawasan pendudukan Israel dan rejim itu mendakwa 1,200 orang terbunuh kebanyakannya orang awam.  

Sementara itu di gaza, pihak berkuasa melaporkan lebih 1,000 orang terbunuh dalam serangan balas Israel.

Namun ada laporan lain menyebut, jumlahnya lebih tinggi.  


(Antara situasi ketika serangan pada 11 Oktober 2023 lalu/Foto AFP)

Penganalisis menyifatkan perang telah memberi tamparan hebat kepada kemungkinan normalisasi perjanjian antara Arab Saudi dan Israel.

Proses itu didorong oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, dengan Riyadh berusaha keras untuk mendapatkan faedah dari Washington termasuk jaminan keselamatan dan membantu membangunkan program nuklear awam.

Iran dikatakan telah lama memberi bantuan kepada Hamas termasuk kewangan dan aspek ketenteraan, namun menegaskan tidak terlibat secara langsung dalam serangan pada Sabtu lalu.

Mac lalu, Arab Saudi dan Iran mengumumkan bahawa mereka bersetuju untuk menjalin semula hubungan rasmi, menamatkan sengketa perjanjian selama 7 tahun yang diusahakan China.

Pada Rabu, Putera Mohammed turut mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; menyatakan bahawa pemimpin berusia 38 tahun itu "terus berusaha melalui komunikasi serantau dan antarabangsa mencapai penyelarasan bagi menamatkan peningkatan konflik semasa” (Israel – Palestin).

Media Baharu