KUALA LUMPUR, 6 November- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan keselamatan dalam sektor pengangkutan awam.
Langkah itu termasuk menyediakan khidmat latihan, tenaga pakar, dan pasukan audit keselamatan bagi mengurangkan risiko renjatan elektrik.
NIOSH turut menzahirkan simpati kepada keluarga seorang remaja yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di dalam bas ekspres di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menurut NIOSH, sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pihaknya komited dalam menyediakan pelbagai khidmat untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerjaan melalui latihan, penyelidikan, dan penyebaran maklumat.
"Penglibatan NIOSH dalam isu ini juga selari dengan usaha KESUMA untuk mengurangkan kemalangan dan penyakit melibatkan pekerja dan orang lain di tempat kerja, sebagaimana yang digariskan di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021-2025 (OSHMP25).
"Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, pengangkutan awam seperti bas yang berfungsi sebagai entiti perniagaan dikategorikan sebagai tempat kerja," menurut kenyataan itu.
Selain membantu pengurusan keselamatan di sektor pengangkutan awam, NIOSH turut berpengalaman melaksanakan audit keselamatan di sekolah tahfiz ekoran tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada tahun 2017.
NIOSH juga menawarkan modul KKP khas untuk sekolah tahfiz yang dikenali sebagai 'OSH for Tahfiz'.
Di samping itu, NIOSH, melalui anak syarikatnya NIOSH Certification Sdn. Bhd. (NIOSHCert) menawarkan pensijilan ISO untuk pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pensijilan itu membantu industri dalam mematuhi standard antarabangsa untuk operasi yang lebih selamat.
"NIOSH menyeru semua pihak untuk sentiasa mengutamakan keselamatan elektrik di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian.
"Usaha berterusan daripada semua pihak adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama di negara ini," menurut NIOSH.