KUALA LUMPUR, 24.November - Jumlah panggilan kecemasan yang diterima menerusi Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) sejak dilancarkan pada 15 November lalu menunjukkan peningkatan ketara, namun masih berada dalam keadaan terkawal.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata meskipun jumlah panggilan bagi sistem baharu itu lebih tinggi berbanding platform lama MERS 999, keberkesanan tindak balas berada pada tahap memuaskan dengan 95 peratus panggilan berjaya dijawab dan diproses dalam tempoh lapan saat.
Nie Ching berkata, pada hari pertama NG MERS 999 beroperasi, sebanyak 50,000 panggilan diterima berbanding purata harian sistem lama yang mencatat sekitar 28,000 panggilan.
“Pada 22 haribulan, panggilan masuk adalah 53,000 dan semalam sebanyak 50,000. Memang kami akui pada minggu lalu ada banyak ‘panggilan tidak berjawab kerana peningkatan mendadak panggilan masuk.
"Namun selepas TM menambah ejen di Pusat panggilan, situasi kini terkawal walaupun jumlah panggilan kekal tinggi berbanding platform lama,” katanya.
Sementara itu, Nie Ching turut menegaskan bahawa talian kecemasan sedia ada 999 tidak dihapuskan, sebaliknya dipertingkat melalui aplikasi SaveME 999 bagi memudahkan penggunaan terutama dalam kalangan orang kurang upaya pendengaran dan pertuturan.
“Sebenarnya 999 tidak dihapuskan, nombornya kekal sama. Yang baharu ialah aplikasi yang dibangunkan. Jadi tidak ada masalah, di kawasan bandar atau luar bandar, terus hubungi 999.
"Jika berlaku keadaan panggilan lama tidak dijawab, sila maklumkan kepada kami kerana statistik terkini menunjukkan 95% panggilan dijawab dalam tempoh lapan saat,” ujar beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat.