SEREMBAN, 4 Januari- Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pelaksanaan Jadual Waktu Bekerja Flexible (WBF) buat semua kakitangan perkhidmatan awam di negeri itu bermula pada 15 Januari ini.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, ia merupakan salah satu strategi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam dan menghasilkan warga kerja yang mampu berdaya saing untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Saya melihat waktu kerja anjal ini sepatutnya dimanfaatkan semua penjawat awam khususnya di SUK ini bagi mengelakkan isu kesesakan jalan raya, isu menghantar anak.
"Waktu anjal bukan meningkatkan motivasi semua mereka penjawat awam di Negeri Sembilan, jadi kita tiada lagi ada alasan-alasan tertentu dan kita tidak mahu mereka menyalahgunakan waktu anjal ini,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memberi amanat pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Seremban.
Tambahnya, penjawat awam diingatkan agar memanfaatkan pelaksanaan waktu anjal itu dengan baik dan akan menarik balik sekiranya ada kakitangan yang didapati menyalahgunakan inisiatif tersebut.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri menyokong sepenuhnya usaha kerajaan persekutuan hari ini untuk menaikkan gaji perkhidmatan awam melalui dasar Skim Gaji Progresif yang diumumkan oleh Kementerian Ekonomi baru-baru ini.
Sementara itu,penjawat awam diingatkan terus komited melaksanakan agenda pembangunan negeri dan tidak mengamalkan sikap sambil lewa terhadap setiap tugasan yang diberikan.
Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, setiap penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu perlu memandang serius dan proaktif melaksanakan tindakan segera terhadap aduan yang diterima.
Dalam pada itu, Datuk Seri Aminuddin memaklumkan tema bagi wajah baharu komitmen Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun ini adalah Proaktif, Mesra dan Responsif.
Tambahnya, empat strategi yang harus dipegang oleh penjawat awam pada tahun ini iaitu, memperkasa usaha menangani kos sara hidup rakyat, meningkatkan hasil ekonomi negeri melalui urus tadbir yang baik dan berkesan.
Selain memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan penuh integriti dan mencanai minda dan sedia berdepan dengan cabaran yang mendatang.