
KUALA LUMPUR, 25 Februari – Penganjuran National Science Challenge terus menjadi platform penting dalam memperkukuh pendidikan sains negara selaras dengan perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan ekonomi digital.
- NSC terus jadi platform penting memperkukuh pendidikan sains selaras perkembangan AI, IoT dan ekonomi digital.
- NSC bukan sekadar kuiz tetapi medan mencungkil bakat, mengasah pemikiran kritis dan komunikasi sains pelajar.
- Sokongan KPM dan penglibatan komuniti menjadikan NSC pemangkin kecemerlangan sains untuk masa depan negara.
Sejak 1983, program tahunan anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) ini terus menarik penyertaan ribuan pelajar, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai badan pemikir utama pembangunan sains negara. Inisiatif ini bertepatan dengan aspirasi nasional untuk melahirkan modal insan kompeten yang bersedia mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi berasaskan teknologi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu National Science Challenge, NSC 2025-2027, Profesor Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris FASc berkata, NSC 2026 bukan sekadar pertandingan kuiz, malah menjadi medan mencungkil bakat dan mengasah pemikiran kritis pelajar dalam bidang STEM serta teknologi. Inisiatif ini turut berperanan melatih pelajar menguasai bidang komunikasi sains secara lebih berkesan.
“Sains bukan sekadar teori di dalam bilik darjah. Ia diaplikasi dalam kehidupan seharian,daripada pengurusan keselamatan makanan, pemeliharaan nutrisi, kawalan suhu penyimpanan, hinggalah kepada proses kimia dalam pembuatan produk. Kefahaman terhadap prinsip saintifik dapat membantu memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu produk,” ujar beliau selepas hadir ke program Selamat Pagi Malaysia bagi mempromosikan NSC 2026.
Penyertaan tahun ini yang dibuka sejak 12 Februari lalu menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai negeri khususnya dari Sabah dan Sarawak.
Penganjuran NSC dilihat selari dengan aspirasi nasional untuk memperkukuh ekosistem sains dan inovasi, sekali gus memacu pembangunan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.
Dengan sokongan padu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peserta turut menerima pengiktirafan melalui mata merit kokurikulum. Melalui penglibatan berterusan pelajar, guru, dan ibu bapa, program ini diyakini mampu kekal sebagai pemangkin utama kecemerlangan pendidikan sains negara pada masa hadapan.