IPNas 2025: Tadbir urus berkesan pacu peningkatan Skor Perpaduan Nasional

Mohamad Sobri Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatatkan peningkatan skor membanggakan kepada 0.701, bukti keharmonian rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang semakin stabil dan kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keberkesanan tadbir urus kerajaan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan perpaduan nasional.
  • Keadilan dalam pembangunan dan agihan ekonomi saksama jadi kunci mengurangkan ketegangan antara kaum.
  • Penyediaan tapak integrasi dan ruang sosial penting untuk memupuk interaksi serta mengekalkan identiti Malaysia yang harmoni.

Edisi ketiga sejak 2018 ini menjadi kayu ukur utama kerajaan menilai kesatuan rakyat. Penilaian merangkumi tadbir urus pembangunan, etos bangsa, hubungan rentas etnik, serta tahap integrasi sosial masyarakat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud, menyifatkan kejayaan ini hasil keberkesanan tadbir urus kerajaan. Pelaksanaan dasar yang praktikal memberikan impak besar kepada kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan.

Beliau menegaskan bahawa keadilan dalam pembangunan adalah kunci utama kepada kestabilan sosiopolitik yang dinikmati negara ketika ini dan agihan ekonomi yang saksama turut membantu mengurangkan ketegangan antara kaum.

“Walaupun skor meningkat, kerajaan tidak menolak kewujudan ‘defisit sosial’. Perbezaan agama, etnik, dan sistem politik berasaskan kaum kekal menjadi cabaran yang boleh mencetuskan isu panas namun tadbir urus mantap dan patriotisme tinggi adalah benteng utama. Elemen ini penting bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara kaum,” ujar beliau selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Kementerian Perpaduan Negara memperkasakan Blueprint Pembinaan Negara Bangsa melalui pendekatan “Whole-of-Government” yang melibatkan kolaborasi rentas kementerian. Langkah menyeluruh ini selaras dengan syor IPNas 2025 untuk memantapkan tadbir urus dan menterjemah dasar kepada pelaksanaan berkesan.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada penyediaan “tapak integrasi” dan ruang sosial bagi memperkukuh interaksi masyarakat pelbagai kaum demi melestarikan identiti Malaysia yang harmoni.

Usaha bersepadu ini memastikan setiap agensi berperanan aktif memupuk integrasi. Langkah ini kritikal bagi menutup jurang sosial serta memperkukuh jati diri nasional dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Data IPNas 2025 menunjukkan Pahang mendahului dengan skor tertinggi, diikuti Melaka dan Sarawak. Sarawak terus diiktiraf sebagai wilayah contoh menerusi amalan perkahwinan campur dan budaya toleransi tinggi.

Secara keseluruhannya, IPNas 2025 menjadi panduan strategik kerajaan memperbanyakkan “ruang sosial”. Fokus ini bagi memastikan identiti Malaysia yang harmoni dan bersatu padu terus terpelihara demi generasi akan datang.