
KUALA LUMPUR, 15 November – Sebanyak 31,389 cap tapak kaki berjaya direkodkan menerusi Kempen Kesedaran Kesihatan Kaki, sekali gus melakar pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mengatasi sasaran awal 30,000 cap tapak kaki.
- Kempen Rekod Cap Tapak Kaki mencatat 31,389 cap, melepasi sasaran 30,000 dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
- FitArch Walkathon lima kilometer di Dataran DBKL menarik lebih 1,000 peserta dan mempromosikan gaya hidup sihat sempena KL Car-Free Morning.
- Pengarah FitArch Tan Ser Huat mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan penjagaan kesihatan kaki.
Kejayaan itu diumumkan sempena program ‘Ambil Tahu Santuni Warga Kota’ yang menyaksikan kerjasama dua stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), NASIONALfm dan AiFM, sebagai rakan media bagi penganjuran FitArch Walkathon sejauh lima kilometer (km).
Penyampai NASIONALfm, Nazrie Fahmie Sukri berkata, program berkenaan bukan sahaja merapatkan hubungan stesen radio dengan pendengar, malah memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kaki.
“Antara program yang berlangsung ialah kerjasama bersama FitArch yang berjaya mengumpulkan lebih 30,000 cap tapak kaki dan mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR).
“Program ini juga menarik kerana berlangsung bersempena KL Car-Free Morning yang memberi peluang kepada warga kota menikmati pelbagai aktiviti pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Pada majlis itu, pihak FitArch menerima replika sijil pengiktirafan daripada pegawai rasmi MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi dan Mohamad Hazim Danial Mohd Nizam sebagai simbolik pencapaian berkenaan.
Sementara itu, Ikon TV AiFM, JC Cheah berkata, penganjuran walkathon berkenaan membuka ruang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti riadah secara bersama-sama.
“Penganjuran ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk bersenam bersama.
“Melalui kerjasama AiFM dan NASIONALfm, kami berpeluang menganjurkan walkathon di Dataran DBKL. Walaupun jaraknya hanya lima kilometer, ia tetap menjadi platform yang baik untuk rakan-rakan dan orang awam bersenam,” katanya.
Lebih 1,000 peserta menyertai FitArch Walkathon yang menjadi acara penutup kempen kesedaran kesihatan kaki itu hari ini.
Pengarah Pembangunan Perniagaan FitArch, Tan Ser Huat berkata, orang ramai perlu memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan kaki dan tidak hanya menumpukan pemeriksaan jantung serta tekanan darah.