KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, malam tadi.
Beliau turut mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera segera diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan.
"Saya menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM yang terlibat dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) malam tadi.
Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya di platform media sosial X, hari ini.
Beliau turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
BERITA BERKAITAN