KUCHING, 22 Ogos - Seorang warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami di Jalan Tunku Yasin Dua, Batu 10 Matang di Kuching, Sarawak musnah dalam kejadian kebakaran, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 malam tadi.
Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat, BBP Petra Jaya dengan bantuan BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian.
Turut digerakkan, dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.
Kediaman tersebut dihuni seorang lelaki berusia 60 tahun dikenali sebagai Azhar Jenal.
Operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 10.38 malam.