fb fb fb fb fb

Nahas helikopter TLDM: Tiada keperluan gantung penggunaan Fennec, HOM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA TERENGGANU, 27 April - Tiada keperluan menggantung sementara penggunaan helikopter jenis Fennec dan HOM susulan nahas yang berlaku di Lumut minggu lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata siasatan berhubung insiden itu sedang dilakukan dan proses mengalihkan bangkai dua helikopter dari lokasi kejadian sudah dijalankan.

Beliau berkata, laporan interim berhubung nahas tersebut akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari manakala laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

"Kita dapat kerjasama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia dan pakar-pakar lain termasuk pembuat helikopter. Pakar luar bila ada keperluan, jawatankuasa yang akan dapatkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Dusun Tembakau di Manir, di sini.

Kedua-dua helikopter tersebut, HOM-AW139 dan Fennec (M502-6) terlibat dalam nahas yang berlaku pada pagi Selasa di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN