KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjaya membuktikan kesungguhan dalam melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan rakyat Malaysia pada setiap krisis, sejak penubuhannya sedekad lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara itu, sempena sambutan ulang tahun ke-10 NADMA, hari ini.
"Ulang tahun ke-10 bukan sekadar tanda, sebaliknya permulaan baharu untuk NADMA memperkukuh kesiapsiagaan, memanfaatkan teknologi serta memperhebat kerjasama dalam menghadapi cabaran masa depan," kata beliau dalam video yang dimuat naik di media sosialnya.
Datuk Seri Anwar berharap NADMA akan terus maju sebagai benteng negara dalam pengurusan bencana demi Malaysia yang selamat, berdaya tahan dan sejahtera.
Jelas beliau, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menghargai jasa serta pengorbanan warga NADMA selama ini.