fb fb fb fb fb

MSM Malaysia akan terus laksana lindung nilai harga gula

Syed Feizal Syed Mohammad

KUALA LUMPUR, 6 Jun- MSM Malaysia Holdings Bhd akan terus melaksanakan lindung nilai harga gula mengikut purata pasaran sementara menunggu mekanisme baharu oleh kerajaan untuk menggantikan insentif sementara bagi pengeluar gula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Syed Feizal Syed Mohammad berkata, ketika ini, kerajaan menyediakan insentif RM1 sekilogram (kg) kepada pengeluar tempatan bagi memastikan kesinambungan bekalan dan harga gula untuk pengguna.

"Pada harga RM2.85 sekilogram di kedai, ini sudah tentu satu kejanggalan dalam erti kata ia mungkin harga runcit termurah di rantau ini dan mungkin juga di seluruh dunia, dan pemain industri tempatan yang mungkin memberi subsidi kepada rakyat secara tidak langsung atau secara langsung," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan MSM ke-13, di ibu negara.

Dari Januari 2022 hingga Oktober tahun lalu, industri bersama (pemain) telah memberi subsidi hampir RM500 juta.

"Terima kasih kepada kerajaan yang sangat responsif. Kami gembira dengan tindak balas daripada kerajaan untuk menangani isu ini," katanya.

MSM Malaysia pada masa ini perlu menguruskan harga mengikut New York #11, kontrak niaga hadapan untuk penghantaran fizikal gula tebu mentah dan penanda aras dunia untuk perdagangan gula dunia, yang mana kumpulan itu perlu kerap membeli ke hadapan komoditi itu,sama ada untuk segmen borong atau industri.

Bagaimanapun beliau tidak menolak sekiranya pengapungan harga gula dilaksanakan, ia juga menyebabkan berlakunya pergerakan harga sama seperti pengapungan harga ayam.

"Berdasarkan apa yang saya nampak, ia boleh mencecah antara 80 sen hingga seringgit 50 sen. Segala kemungkinan boleh jadi. Pada kos input semasa, pada masa akan datang. Kemungkinan kenaikan pada harga runcit," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI