MPM daftar 854 pengamal perubatan lulusan luar negara sebagai pakar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Majlis Perubatan Malaysia (MPM) telah mendaftarkan sebanyak 854 pengamal perubatan berkelulusan luar negara sebagai doktor pakar tempatan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan Akta 50 2024 memperkemas, memperjelas dan memperkukuh proses pendaftaran pakar serta pengiktirafan program latihan kepakaran.
  • Pengiktirafan isu seperti Patologi Genetik USM dan Kardiotorasik melalui laluan selari dengan FRCS Edinburgh berjaya selepas penilaian.
  • Memiliki kelayakan dalam Jadual Keempat penting tetapi pendaftaran tidak automatik; MPM menilai latihan, pengalaman, kompetensi dan akhlak.
  • Tempoh pemprosesan bergantung pada kelengkapan dokumen termasuk pengesahan kelayakan, latihan kepakaran dan bukti pengalaman kerja.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 849 ialah rakyat tempatan dengan 87 peratus atau 741 permohonan pendaftaran pakar tersebut diluluskan dalam tempoh singkat iaitu tiga bulan atau kurang.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengalu-alukan kepulangan doktor pakar warganegara Malaysia yang berkelayakan dari luar negara kerana mereka aset penting dalam sistem kesihatan negara.

“Komitmen ini diterjemahkan melalui proses pendaftaran pakar yang terbuka kepada semua pemohon yang memenuhi keperluan pendaftaran seperti di dalam Akta Perubatan 1971 (Akta 50) serta Peraturan Perubatan 2017,” katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengenai isu pendaftaran doktor pakar Malaysia berkelulusan luar negara ke dalam Daftar Pakar Kebangsaan.

Beliau berkata, pindaan kepada Akta 50 yang diluluskan pada 2024, langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperkemas, memperjelas dan memperkukuh proses pendaftaran pakar serta pengiktirafan program latihan kepakaran di negara ini.

Melalui pindaan akta itu, beliau memaklumkan beberapa isu yang menjadi pertikaian sebelum ini berjaya diselesaikan antaranya pengiktirafan bagi Patologi Genetik dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta pakar Kardiotorasik melalui program laluan selari (parallel pathway) dengan kelayakan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Edinburgh) United Kingdom yang berjaya didaftarkan selepas melalui proses penilaian.

Jelasnya, keperluan memiliki kelayakan dalam Jadual Keempat Akta Perubatan 1971 antara syarat penting bagi pendaftaran pakar, namun ia tidak menjadikan pendaftaran berlaku secara automatik.

Sebaliknya, beliau berkata, MPM masih perlu menilai sama ada pemohon memenuhi semua syarat di bawah Seksyen 14 Akta 50 termasuk melengkapkan latihan kepakaran, mempunyai pengalaman kerja sebagai pakar yang memuaskan, kompeten serta berakhlak baik seperti yang termaktub di bawah akta sama.

Tempoh pemprosesan bagi setiap permohonan berbeza, bergantung kepada tahap kelengkapan dokumen dikemukakan pemohon, termasuk keperluan mendapatkan pengesahan kelayakan, menyempurnakan latihan kepakaran serta bukti pengalaman kerja daripada institusi latihan, majikan atau pihak berkuasa berkaitan di luar negara.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha mengubah trend brain drain kepada brain gain, termasuk beberapa kes melibatkan pakar dari United Kingdom, Australia dan negara lain yang ingin kembali berkhidmat di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.