Dua RUU berkaitan persaingan dibentang di Dewan Rakyat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan persaingan iaitu RUU Persaingan (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika membentangkan RUU tersebut berkata, bacaan kali kedua juga akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.

Menurut naskhah RUU Persaingan (Pindaan) 2026 yang dipaparkan di portal Parlimen hari ini, pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 (Akta 712) itu bertujuan memperkukuh kuasa siasatan, penguatkuasaan dan proses membuat keputusan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Antara perubahan utama ialah peluasan skop akta itu kepada semua aktiviti ekonomi, tidak lagi terhad kepada aktiviti komersial sahaja.

MyCC juga akan diberi kuasa untuk mendapatkan maklumat atau dokumen daripada mana-mana individu, organisasi atau agensi kerajaan bagi tujuan kajian pasaran.

Selain itu, RUU itu turut memperkenalkan kesalahan baharu, iaitu perbuatan memusnahkan, menyembunyikan atau mengubah data bagi mengelakkan atau mengganggu siasatan MyCC.

Bagi RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 pula, ia bertujuan memperkemas fungsi dan pentadbiran MyCC.

Pindaan itu termasuk memperjelaskan peranan MyCC dalam memberi nasihat kepada kerajaan dan agensi berkaitan mengenai dasar dan program berkaitan persaingan.

Ia juga membolehkan MyCC mewakilkan kuasa kepada pengerusi, jawatankuasa atau pegawai bagi melancarkan urusan kerja harian.

Selain itu, pelantikan pegawai MyCC dicadangkan dibuat oleh suruhanjaya itu sendiri berdasarkan syor Ketua Pegawai Eksekutif, bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

RUU ini dijangka memperkukuh lagi peranan MyCC dalam memastikan amalan persaingan sihat dalam ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.