
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Keberanian seorang pemandu lori mempertaruhkan keselamatan diri sendiri dengan menggunakan kenderaannya bagi menghalang bas ekspres daripada terbabas mendapat pengiktirafan apabila menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000.
- Tindakan pantas Wong Tuck Meng menyelamatkan 21 penumpang bas berhampiran Terowong Menora, Perak pada 15 Jun.
- Penghargaan diberi menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya seperti dimaklumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
- Beliau menasihatkan pemandu berehat jika terlalu letih supaya kekal tenang dan dapat mengawal kenderaan.
- Dewan Rakyat serta Timbalan Yang Dipertua menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada beliau di Parlimen.
Tindakan pantas Wong Tuck Meng, 40, berjaya menyelamatkan nyawa 21 penumpang bas berkenaan dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Perak pada 15 Jun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan penghargaan itu diberi menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).
“Satu petua beliau ialah sekiranya rasa letih sangat beliau akan mengambil masa untuk berehat kerana dalam keadaan tenang maka beliau dapat mengawal kenderaan itu dalam keadaan tenang dan ia membantu mengawal situasi.
“Saya rasa itu sangat penting kepada semua pemandu dan kisah seperti ini perlu di kongsi kepada orang ramai dan itulah sebabnya kita memberikan galakan dan juga penghargaan ini supaya lebih ramai pemandu sentiasa berhati hati di jalan raya,” katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan khas di bangunan Parlimen.
Ia juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap semangat tanggungjawab tinggi yang ditunjukkan beliau ketika berdepan situasi kecemasan itu.
Dewan Rakyat juga turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Wong atas keberaniannya itu.
Ia disampaikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor selepas Loke membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Parlimen.