
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pelaksanaan program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 yang melibatkan peruntukan geran sebanyak RM2.88 juta berupaya membantu kesatuan sekerja meningkatkan keupayaan organisasi serta memperluas manfaat kepada ahli kesatuan.
- 315 kesatuan sekerja menerima bantuan geran untuk melaksanakan program memperkasa organisasi masing-masing.
- Inisiatif menjadikan kesatuan rakan strategik kerajaan bagi pembangunan ekonomi inklusif dan hubungan perusahaan yang harmoni.
- Kerajaan menekankan penggunaan geran berkesan, tadbir urus baik, penyesuaian teknologi termasuk AI dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan memaklumkan 315 kesatuan sekerja telah menerima bantuan geran bagi melaksanakan program-program yang memperkasa kesatuan masing-masing.
“Inisiatif seperti itu bukan sahaja sekadar mewakili suara pekerja malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif selain hubungan perusahaan harmoni antara kerajaan, majikan serta pekerja,”katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran PHEKS 2026 Peringkat Semenanjung di ibu negara.
Beliau dalam pada itu menyatakan penggunaan geran secara berkesan dan amalan tadbir urus yang baik, antara pertimbangan kerajaan menambah peruntukan pada masa depan.
“Ini termasuk kepentingan menyesuaikan dengan perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi realiti dalam dunia pekerjaan, selain keperluan meningkatkan kemahiran tenaga kerja,”katanya.
Setakat Disember 2025, Malaysia mempunyai sebanyak 766 kesatuan sekerja berdaftar dengan jumlah keanggotaan melebihi 1.06 juta individu.