
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Malaysia menyasarkan nilai pelaburan dan jualan RM100 juta menerusi penyertaan sulung negara dalam Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026 yang berlangsung di Annecy, Perancis.
- Kementerian Komunikasi bekerjasama dengan FINAS menyelaraskan penyertaan antarabangsa untuk mempromosi industri animasi Malaysia.
- Sebelas syarikat animasi tempatan terlibat untuk mempromosikan harta intelek Malaysia dan meneroka peluang kerjasama global.
- Strategi tumpu pada penerbitan bersama, perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan, pengedaran IP dan insentif FIMI.
- Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan daya saing industri kreatif dan memperluas eksport kandungan Malaysia.
Penyertaan bersejarah itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Sasaran itu sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri kreatif dan animasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Kementerian Komunikasi memaklumkan penyertaan yang berlangsung dari 21 hingga 27 Jun itu melibatkan 11 syarikat animasi tempatan bagi mempromosikan harta intelek (IP) Malaysia serta meneroka peluang kerjasama di peringkat global.
“Platform ini menyediakan ruang strategik untuk mengetengahkan kandungan animasi Malaysia ke pasaran global selain membuka peluang kerjasama baharu dengan pemain industri antarabangsa.
“Sasaran nilai pelaburan dan jualan RM100 juta itu dijangka dicapai menerusi kerjasama penerbitan bersama, perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan kreatif, pengedaran IP serta kemasukan projek produksi antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh daya saing industri kreatif negara di samping meningkatkan potensi eksport kandungan kreatif Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Selain menarik pelaburan asing, penyertaan dalam MIFA 2026 turut membuka peluang kepada syarikat tempatan membina jaringan antarabangsa dan meningkatkan kebolehpasaran kandungan kreatif Malaysia di peringkat global.