MOT teliti cadangan penyelesaian tunggakan RM314 juta Zetrix AI

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR, 16 November -Kementerian Pengangkutan sedang meneliti cadangan penyelesaian alternatif yang dikemukakan Zetrix AI Bhd berhubung tunggakan bayaran berjumlah RM314 juta, yang perlu diselesaikan sebelum syarikat itu dilantik semula sebagai ejen kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

RINGKASAN BERITA AI
  • Zetrix cadangkan bayaran pendahuluan RM100 juta; baki RM214 juta dijelaskan dalam enam ansuran bulanan kira-kira RM35.67 juta sebulan.
  • Cadangan dikemukakan 5 November, dirujuk kepada Kementerian Kewangan melalui surat Kementerian Pengangkutan bertarikh 10 November 2026; penalti dikenakan RM29 juta.
  • Kementerian dan JPJ beri kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan SPRM; notis tuntutan serta tindakan mahkamah disediakan jika tiada bayaran.
  • Komisen e-hailing maksimum 20% bagi kenderaan persendirian dan 10% bagi teksi; POC GSF dilaksanakan; fungsi keselamatan aplikasi diwajibkan.

Menerusi cadangan berkenaan, syarikat itu akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM100 juta, manakala baki RM214 juta akan dijelaskan secara ansuran dalam tempoh enam bulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, cadangan penyelesaian itu dikemukakan oleh syarikat berkenaan pada 5 November lalu.

Beliau berkata, baki tunggakan berkenaan akan dibayar menerusi enam ansuran bulanan dengan jumlah yang sama, iaitu kira-kira RM35.67 juta sebulan.

“Cadangan penyelesaian itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan menerusi surat Kementerian Pengangkutan bertarikh 10 November 2026 bagi mendapatkan hala tuju selanjutnya.

“Jumlah penalti yang dikenakan terhadap syarikat berkenaan adalah sebanyak RM29 juta, berdasarkan terma dan syarat perjanjian.

“Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara berkenaan.

“Selain itu, Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan sedang mengambil tindakan untuk mengeluarkan notis tuntutan kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada bayaran dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Tindakan saman dan tuntutan mahkamah akan diteruskan selepas rundingan bersama Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengeluaran notis tuntutan serta tindakan mahkamah tidak akan diteruskan sekiranya cadangan penyelesaian tunggakan bayaran yang dikemukakan oleh Zetrix AI dipersetujui kerajaan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan menjelaskan kadar komisen maksimum bagi perkhidmatan e-hailing ditetapkan tidak melebihi 20 peratus bagi kenderaan persendirian, manakala 10 peratus bagi perkhidmatan teksi, kereta sewa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.

Bagi menilai pelaksanaan struktur komisen yang lebih fleksibel, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Bukti Konsep (POC) Grab Service Fee (GSF).

Sehingga 31 Mei 2026, seramai 170,944 rakan pemandu telah menyertai pelaksanaan POC berkenaan, dengan kadar GSF purata sebanyak 18 peratus dan kadar efektif 15 peratus.

Kerajaan turut mewajibkan semua pengendali platform e-hailing memastikan fungsi keselamatan dalam aplikasi masing-masing beroperasi dengan baik.

Ini termasuk penyediaan sambungan terus kepada talian kecemasan 999 serta perkongsian maklumat berkaitan kecemasan dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.