
KUALA LUMPUR, 16 November -Malaysia mahu memperluas kerjasama dengan Australia dalam bidang perdagangan dan pelaburan, keselamatan tenaga, peralihan iklim serta transformasi digital bagi meningkatkan manfaat bersama dalam hubungan strategik kedua-dua pihak.
- Lima tahun Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia jadi asas untuk memperdalam kerjasama konkrit, seimbang dan berpaksikan kepentingan bersama.
- Utamakan pembangunan rantaian bekalan serantau tahan lasak, terutamanya sektor mineral kritikal, melalui pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kepakaran.
- Perkukuh multilateralisme, hormati undang-undang antarabangsa serta tingkatkan kerjasama menentang ancaman keselamatan siber dan risiko kecerdasan buatan.
- Perdana Menteri bimbang konflik Asia Barat semakin meruncing dan menggesa usaha diplomatik dipergiat bagi meredakan ketegangan serta tangani punca sebenar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lima tahun Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia menjadi asas penting untuk meningkatkan hubungan itu menerusi kerjasama lebih konkrit, seimbang dan berpaksikan kepentingan bersama.
“Usaha membangunkan rantaian bekalan dan nilai serantau yang lebih berdaya tahan, khususnya dalam sektor mineral kritikal, juga perlu diberi keutamaan melalui pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kepakaran agar manfaat kemakmuran dapat dikongsi secara lebih saksama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, ASEAN dan Australia juga perlu memperkukuh multilateralisme, menghormati undang-undang antarabangsa serta meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan siber dan risiko kecerdasan buatan (AI).
Beliau menekakankan perkara itu sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN-Australia.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, termasuk serangan ke atas Arab Saudi, serta menggesa usaha diplomatik dipergiat bagi meredakan ketegangan dan menangani punca sebenar konflik.