BANGI, 19 Jun - Hab Teknovasi diperkenalkan bagi mengukuhkan ekosistem inovasi negara melalui pengukuhan penyelidikan, pembangunan bakat dan keusahawanan berasaskan teknologi di institusi pengajian tinggi.
Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal, inisiatif ini bertujuan menjadikan universiti sebagai pusat pengkomersialan teknologi, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpaksikan inovasi dan teknologi.
"Pembangunan bakat perlu bermula seawal mungkin bagi memupuk minat golongan remaja dalam bidang teknologi dan inovasi. Inisiatif yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui penyediaan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) termasuk fasiliti Hab Teknovasi UKM-MTDC dan program berkaitan teknologi serta inovasi, berupaya menyemarakkan lagi potensi bakat muda dalam bidang tersebut.
Dana sebanyak RM210,000 daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan RM110,000 daripada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) yang diperuntukkan bagi pembangunan hab ini perlu dimanfaatkan dengan berhemah demi kelangsungan program inovasi yang berimpak tinggi.
Penubuhan hab ini juga sejajar dengan hasrat kementerian untuk menjadikan universiti sebagai hab pengkomersialan teknologi, bukan sekadar pusat akademik dan penyelidikan."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hab Teknovasi UKM-MTDC di sini, hari ini.
Katanya lagi, kerjasama antara UKM dan MTDC dapat membantu pelajar berubah daripada pencari kerja kepada pencipta pekerjaan.
Usaha ini juga wajar diperluas dengan penglibatan agensi dan syarikat lain melalui latihan kemahiran, pembiayaan awal, dan peluang mengkomersialkan inovasi.
Hab Teknovasi dilengkapi mesin kawalan berangka berkomputer (CNC), pencetak tiga dimensi (3D) dan pemotong laser serta menyediakan ruang kerja, ruang idea dan ruang santai bagi merangsang kreativiti pelajar secara menyeluruh.