fb fb fb fb fb

Mohamad Alamin ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak NAM, Third South Summit

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Malaysia akan mengangkat isu Palestin selain menyuarakan agar Israel diheret ke muka pengadilan untuk genosid yang dilakukan di Semenanjung Gaza.

Menurut Wisma Putra, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin akan menyampaikan Kenyataan Malaysia semasa Debat Umum Sidang Kemuncak NAM Ke-19 dan Third South Summit.

Mohamad Alamin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Ke-19 dan Third South Summit of the Group of 77 and China di Kampala, Uganda dari 17 hingga 22 Januari.

Sebagai ahli Jawatankuasa NAM mengenai Palestin, Malaysia juga akan membuat representasi kukuh berhubung pendirian negara terhadap isu Palestin.

Malaysia akan memperjuangkan hak Palestin menentukan nasib sendiri dan kenegaraan berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, dan mengheret Israel atas jenayah pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Selain itu, Mohamad juga akan menyentuh isu global dan serantau termasuk Laut China Selatan, Islamofobia, Agenda Pembangunan Mampan 2030, tindakan iklim dan reformasi institusi kewangan antarabangsa.

Kehadiran Timbalan Menteri Luar dan penyertaan konsisten Malaysia dalam NAM dan G77+China menggambarkan komitmen teguh Malaysia memperkukuh Kerjasama Selatan-Selatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE