MITRA kini dipindahkan ke KESUMA

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Januari – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), selepas dipersetujui Jemaah Menteri baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MITRA dipindahkan ke KESUMA untuk memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif pembangunan masyarakat India secara bersepadu.
  • R. Ramanan memberi jaminan tiada konflik selagi semua pihak mematuhi tata kelola, peraturan dan syarat program.
  • Keputusan pemindahan sedang dalam proses pewartaan dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pemindahan tersebut bertujuan memperkukuh perancangan, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif pembangunan masyarakat India secara lebih tersusun dan bersepadu.

“Saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri yang telah memberikan tanggungjawab dan amanah sangat besar ini kepada KESUMA.

“KESUMA akan menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani dan penyerahan surat pemaklumkan program Dharma MADANI KESUMA, hari ini.

MITRA, yang pada asalnya dikenali unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), ialah sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Pada sidang media berasingan, beliau turut memberi jaminan bahawa tiada konflik akan timbul dalam pengurusan MITRA selagi semua pihak mematuhi tata kelola, peraturan dan syarat program yang ditetapkan.

“Konflik hanya wujud jika tidak mengikut tata kelola. Jika semua pihak patuh kepada peraturan, saya percaya tiada halangan untuk melaksanakan program yang telah diumumkan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri R. Ramanan memaklumkan, keputusan pemindahan MITRA ke KESUMA kini sedang dalam proses pewartaan dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.