fb fb fb fb fb

Misi pengaman Palestin, Malaysia sedia jalin kerjasama dengan Indonesia - Anwar

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Malaysia bersedia menjalin kerjasama dengan Indonesia dalam aspek penugasan pasukan pengaman ke Palestin jika diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perbualan telefon antara beliau dan Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, hari ini.

Anwar turut menyambut baik gagasan kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia, dan kolaborasi yang boleh diperluas ke peringkat serantau ASEAN.

"Dalam perbualan kira-kira tiga minit itu, kami juga sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini dan membawa visi, kolaborasi serta keamanan serantau dan sejagat.

"Menyentuh situasi kemanusiaan di Palestin, saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama termasuk dalam aspek penugasan pasukan pengaman bersama Indonesia sekiranya diberi mandat oleh PBB," kata Anwar menerusi perkongsian di Facebook.

Dalam masa sama, Anwar turut menzahirkan rasa syukur selain mendoakan kesembuhan Prabowo yang selamat menjalani pembedahan minggu lalu.

Anwar juga menzahirkan harapan agar pilihan raya Indonesia yang bakal berakhir dengan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 November ini berlangsung dengan baik dan dipermudahkan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM