KUALA LUMPUR, 21 November - MIMOS Berhad agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menjadi agensi pelaksana bagi pelaksanaan program Identiti Digital Nasional (IDN) atau digital ID.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ke arah itu peruntukan berjumlah RM80 juta akan disalurkan minggu depan bagi menyegerakan pelaksanaan tersebut.
Katanya, pelaksanaan digital ID dilihat mampu meningkatkan keupayaan transformasi digital selaras pendekatan negara Madani.
"Kita agak ketinggalan dalam bidang ini tapi ada keupayaan, ada kemahiran, kepakaran, ada keperluan segera memang peruntukan untuk maksud tesebut dan telah diluluskan untuk Kementerian Dalam Negeri.
"Untuk mempercepatkan proses itu kita segerakan dan minta program pelaksanaan itu diawalkan dan saya dapat jaminan bahawa ia dapat disegerakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan syarat kerajaan meluluskan peruntukan," katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke MIMOS Berhad di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, di sini.
Anwar turut menyifatkan pemilihan MIMOS Berhad sebagai pelaksana digital ID susulan keupayaan dan kepakaran yang dimiliki agensi tersebut.
Berucap pada majlis yang sama, Anwar meminta semua kementerian dan jabatan kerajaan untuk memulakan pendaftaran program digital ID minggu depan.
"Pendaftaran digital ID harus disegerakan. Minggu depan semua kementerian dan jabatan kerajaan, Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Ketua Jabatan harus mulakan pendaftaran di jabatan kerajaan.
"Mahu peruntukan subsidi bersasar dan juga kemudahan yang lain baik daripada jabatan ataupun swasta, mula dengan menggunakan pendaftaran digital ID," katanya.
Tambah Anwar, pelaksanaan digital ID merupakan satu inisiatif memperkasa jentera penyelidikan, sains dan teknologi.
Ini, sekali gus melahirkan lebih ramai pakar menggunakan kekuatan jentera dalam negara, berbanding hanya menggunakan kepakaran asing.