KUALA LUMPUR, 13 Jun – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi selaman bertaraf dunia menerusi penganjuran Malaysia International Dive Expo (MIDE) 2025 edisi ke-19 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur bermula hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan, MIDE kini menjadi platform global utama yang mengetengahkan kekayaan khazanah laut negara serta memacu pemuliharaan alam marin.
Teks ucapan beliau disampaikan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
“Malaysia merupakan tempat tinggal kepada kepelbagaian biodiversiti marin yang menakjubkan, dari terumbu karang di Sabah dan Sarawak hinggalah ke perairan di sekitar Pulau Tioman, Langkawi, dan Pulau Perhentian.
Khazanah semula jadi ini menyokong industri pelancongan, melindungi alam sekitar dan memacu ekonomi kita, selaras nilai MADANI iaitu kelestarian dan kemakmuran,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelancongan selaman bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjana peluang pekerjaan, menyokong komuniti setempat dan memperkasa eko-pelancongan.
Menurutnya, MIDE memainkan peranan penting dalam memperkukuh industri melalui program seperti sesi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), pameran teknologi selaman dan forum antarabangsa yang menjalin kerjasama global.
“Kita semua memikul tanggungjawab untuk melindungi ekosistem marin yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi menyelam terkemuka,” tambahnya.
MIDE 2025 berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini menghimpunkan 195 syarikat dari dalam dan luar negara dengan penglibatan 330 reruai pameran, menjadikan edisi kali ini antara yang terbesar sejak ia diperkenalkan.