Microsleep ancaman senyap, pakar saran rehat sekurang-kurangnya 8 jam

Ketua Pegawai Eksekutif Alpha International Training and Consultancy Sdn Bhd dan Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia, Louis Adaikalam /RTM

KUALA LUMPUR 28 FebruariGangguan tidur yang tidak dirawat boleh memberi kesan serius terhadap fungsi otak dan keupayaan memberi tumpuan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Microsleep berlaku tanpa sedar selama 1–30 saat akibat hutang tidur, berbeza daripada kelesuan biasa.
  • Pemandu perlu rehat sekurang-kurangnya lapan jam sebelum bergerak dan berhenti rehat setiap empat jam perjalanan.
  • Saringan tidur dan perubahan gaya hidup disarankan untuk kesedaran, pengesanan gangguan dan keselamatan jalan raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alpha International Training and Consultancy Sdn Bhd dan Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia, Louis Adaikalam menjelaskan, microsleep berbeza daripada kelesuan biasa kerana ia berpunca daripada kekurangan tidur berpanjangan atau ‘sleep debt’.

“Microsleep adalah episod di mana seseorang tertidur tanpa sedar antara satu hingga 30 saat. Puncanya biasanya amalan tidur yang kurang atau kita mengabaikan waktu tidur,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri.

Jelas beliau, keletihan biasa mungkin boleh diatasi dengan rehat singkat atau minuman berkafein, namun kelesuan akibat kurang tidur memerlukan perubahan gaya hidup dan disiplin tidur yang konsisten.

“Sebelum memulakan perjalanan, seseorang itu perlu rehat sekurang-kurangnya lapan jam. Kalau tidak, risiko microsleep tidak dapat dielakkan.

“Dari sudut amalan keselamatan, pemandu disaran berhenti rehat setiap empat jam perjalanan selama 15 hingga 30 minit bagi memulihkan tenaga dan tumpuan,” jelasnya.

Selain tidur mencukupi, pemakanan seimbang dan pengambilan air yang cukup penting untuk mengekalkan kecergasan dan tumpuan.

Pada masa sama, program saringan tidur dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) secara percuma dengan mengikuti latihan yang ditawarkan kerjasama agensi berkaitan serta berpandukan garis panduan antarabangsa merupakan salah satu cara untuk mengenal pasti risiko keletihan dan gangguan tidur dalam kalangan pemandu.

Bagi orang awam, ujian saringan boleh dilakukan dengan menggunakan peralatan khas yang dibawa pulang dan dipakai ketika tidur bagi mengesan gangguan seperti sleep apnea.

“Seperti kita buat ujian darah, kita juga perlu buat ujian tidur untuk memastikan tidur kita berkualiti dan mencukupi,” ujar beliau.

Justeru beliau menegaskan, kesedaran mengenai kepentingan tidur perlu dipertingkatkan kerana microsleep boleh berlaku tanpa amaran dan memberi risiko besar kepada keselamatan jalan raya.