Raja Muda sertai Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0

Foto RTM

ALOR SETAR, 28 Februari – Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat ke Dataran Masjid Zahir, Alor Setar bagi menyertai Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 bersama lebih seribu pengunjung, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah hadir ke Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 di Dataran Masjid Zahir.
  • Baginda beramah mesra dengan rakyat dan mengurniakan set makanan kepada pengunjung yang berbuka.
  • Penganjur menyediakan 1,000 pek makanan percuma untuk pengunjung terawal.
  • Program anjuran Tourism Kedah menarik ribuan pengunjung dan menyokong pelancongan serta kerjasama agensi tempatan.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda, Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.

Raja Muda bersama keluarga kemudiannya beramah mesra bersama rakyat yang hadir serta berkenan mengurniakan set makanan kepada pengunjung yang berbuka puasa di Dataran Medan Bandar.

Sebanyak seribu pek makanan percuma disediakan penganjur Tourism Kedah dan diedarkan kepada pengunjung terawal.

Baginda bersama keluarga kemudiannya menyertai pengunjung berbuka puasa di dataran berkenaan, sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih di masjid negeri itu.

Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 merupakan acara tradisi yang dianjurkan di Dataran Medan Bandar saban tahun pada bulan Ramadhan.

Program anjuran Tourism Kedah itu telah berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung untuk berbuka puasa pada setiap Jumaat dan Sabtu, sekali gus menjadi tarikan unik bagi sektor pelancongan di Kedah.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Bandar Raya Alor Setar, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Masjid Zahir serta Pertubuhan Kebajikan Nur Iman.