fb fb fb fb fb

Melaka lantik Ahli Majlis PBT dalam kalangan ATM

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

ALOR GAJAH, 12 Julai - Melaka mengambil langkah baharu dengan melantik Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, optimis lantikan itu mampu menjadi pendorong dalam usaha memperkasa nilai kebersamaan aspek pengurusan masyarakat.

"Pelantikan ahli majlis yang mewakili angkatan tentera ini adalah merupakan satu manifestasi bahawa kebersamaan pengurusan masyarakat. Ini disamping memberi maklumat tentang kedudukan sesuatu tempat itu mesti dikongsi bersama.

"Sama ada daripada sudut pembangunan keselamatan dan segala aspek yang memerlukan perhatian daripada semua pihak. Jadi pihak tentera juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama memberikan pandangan membangunkan sesuatu kawasan yang diwakili oleh ahli PBT daripada anggota tentera ini,"kata Ab Rauf.

Sehubungan itu setiap PBT di Melaka akan mempunyai seorang Ahli Majlis yang terdiri daripada golongan tentera.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2024 hingga 2025 diadakan di Majlis Perbandaran Alor Gajah, Melaka.

Pada majlis itu seramai 10 Ahli Majlis dan 11 Ahli Majlis Turut Hadir yang baharu dilantik untuk mewakili empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ).

TETITIA YUSOFF