
PASIR PUTEH, 3 September – Isu keselamatan serta dakwaan kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand ditangani menerusi mekanisme rasmi kedua-dua negara
dan tidak mengikut sentimen atau emosi.
- Kerjasama rasmi Malaysia-Thailand merangkumi kerjasama kerajaan-kerajaan, Border Working Group dan kerjasama Police-to-Police.
- Dakwaan berkaitan kegiatan rentas sempadan harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan siasatan lanjut.
- Border Working Group atau Jawatankuasa Kerja Sempadan menjadi platform koordinasi teknikal dan operasi antara kedua negara.
- Sebarang laporan media, termasuk dakwaan pembuatan bom melibatkan elemen baja, perlu disiasat oleh pasukan keselamatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dakwaan termasuk berkaitan cubaan membolosi sempadan atau kegiatan yang mempunyai kaitan dengan keselamatan kedua-dua negara perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Malaysia dan Thailand mempunyai tiga mekanisme rasmi bagi menangani isu sempadan dan keselamatan termasuk kerjasama kerajaan dengan kerajaan, Border Working Group (BWG) atau Jawatankuasa Kerja Sempadan dan kerjasama Police-to-Police (P2P),”katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali.
Ketika mengulas mengenai dakwaan berkaitan kegiatan rentas sempadan, beliau menyatakan perkara berkenaan wajar diserahkan kepada pasukan keselamatan untuk menjalankan siasatan termasuk dakwaan yang dilaporkan media mengenai pembuatan bom yang melibatkan elemen baja dari Malaysia.