
KUALA LUMPUR, 3 September – Malaysia berhasrat mengukuhkan hubungan dengan perusahaan dari Macau daripada sekadar hubungan pembeli dan penjual kepada kerjasama strategik yang lebih bersepadu dalam rantaian nilai serantau.
- Galakan kepada perusahaan Macau untuk mewujudkan operasi pembuatan serantau di Malaysia.
- Menjemput penubuhan pusat R&D dan pelaksanaan ujian klinikal menggunakan bakat bertaraf dunia.
- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menyokong pembuatan bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan inovasi.
- Perluasan kerjasama menerusi pembangunan hab perkhidmatan dan penyelenggaraan bagi menyokong infrastruktur moden ASEAN.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, Malaysia kini tidak lagi hanya berperanan sebagai pasaran bagi produk siap atau hab pembuatan kos rendah, sebaliknya bersedia menjadi rakan strategik bernilai tinggi.
“Malaysia telah berkembang jauh melangkaui sekadar menjadi pasaran untuk produk siap atau hab pembuatan kos rendah. Hari ini, kita berdiri sebagai rakan strategik bernilai tinggi yang bersedia untuk berinovasi, berkembang dan membina masa depan bersama anda,” katanya ketika berucap pada Pertemuan Bersama Pemimpin Perniagaan Malaysia dan Macau, di sini.
Beliau berkata, Malaysia turut menggalakkan perusahaan Macau mewujudkan operasi pembuatan serantau di negara ini, selain menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjalankan ujian klinikal.
“Kami menggalakkan anda untuk mewujudkan operasi pembuatan serantau di Malaysia, tubuhkan pusat R&D dan ujian klinikal bersama dengan memanfaatkan bakat bertaraf dunia, keupayaan teknikal serta tenaga kerja teknikal dwibahasa kita,” katanya.
Menurut Sim, pendekatan berkenaan membolehkan syarikat memanfaatkan keupayaan Malaysia dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan dipacu inovasi menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Kerjasama itu juga boleh diperluas menerusi pembangunan hab perkhidmatan dan penyelenggaraan bagi menyokong infrastruktur moden di ASEAN.
“Dengan beralih daripada hubungan pembeli-penjual kepada perkongsian serantau bersepadu, syarikat China membawa modal, teknologi canggih dan keupayaan operasi, sambil melokalkan rantaian nilai mereka untuk membina daya tahan rantaian bekalan jangka panjang,” katanya.
Pertemuan bersama pemimpin perniagaan itu dipengerusikan bersama Sim dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau, Sam Hou Fai.
Pertemuan tersebut menjadi platform memperkukuh kerjasama ekonomi serta meneroka peluang baharu dalam sektor bernilai tinggi antara Malaysia dengan Macau.