
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Media terus memaikan peranan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat selain elemen penting dalam usaha memperkukuh perpaduan serta menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif pentadbiran kepada masyarakat.
- Perkukuh hubungan kementerian dengan pengamal media bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan mengenal pasti isu kritikal.
- Maklum balas media diambil serius untuk menambah baik penyampaian, memberikan penjelasan dan memastikan ketepatan maklumat kepada orang awam.
- Usaha perpaduan mesti holistik, bukan simbolik; melibatkan dasar ekonomi, pendidikan dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
- Penghayatan prinsip Rukun Negara diperkasakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk menyemai nilai perpaduan sejak usia muda.
Timbalan Menteri Perpaduan, Yuneswaran Ramaraj berkata, kerjasama erat antara kementerian dan pengamal media perlu terus diperkukuh bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat selain membantu kerajaan mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian.
“Majlis ini bertujuan mengukuhkan hubungan baik dengan rakan-rakan media yang banyak membantu menyalurkan maklumat serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
“Setiap maklum balas yang diberikan turut diambil serius bagi membolehkan kementerian menambah baik penyampaian, memberikan penjelasan serta memastikan maklumat yang tepat terus disampaikan kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Bersama Media yang berlangsung di bu negara, hari ini.
Meskipun Kementerian Perpaduan merupakan kementerian yang kecil dari segi struktur namun tanggungjawab yang dipikul amat besar kerana melibatkan usaha membina keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Usaha memperkukuh perpaduan tidak boleh bergantung kepada program berbentuk simbolik semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk penelitian terhadap dasar ekonomi, pendidikan serta kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Selain itu, penghayatan prinsip Rukun Negara terus diperkasakan di pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sebagai usaha menyemai nilai perpaduan sejak usia muda.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa komited melaporkan perkembangan semasa serta membantu menyebarkan maklumat berkaitan pembangunan negara kepada masyarakat.