KUALA LUMPUR, 3 Januari -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memulakan siasatan terhadap pengguna yang disyaki menyalahgunakan kecerdasan buatan (AI) di platform X.
- MCMC siasat pengguna disyaki gunakan AI di platform X untuk manipulasi imej wanita dan kanak-kanak menghasilkan kandungan tidak senonoh.
- Penghasilan atau penyebaran kandungan sedemikian melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mewajibkan platform dan penyedia berlesen ambil langkah proaktif cegah kandungan memudaratkan.
- MCMC akan memanggil wakil platform X dan gesa semua platform laksana perlindungan AI, chatbot, dan alat manipulasi imej.
- Pengguna dan mangsa digalakkan lapor kandungan memudaratkan kepada platform, PDRM dan MCMC melalui portal aduan dalam talian.
Menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia termasuk penggunaan teknologi itu bagi memanipulasi imej wanita dan kanak-kanak bagi menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.
“Penghasilan atau penyebaran kandungan sedemikian merupakan suatu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), yang melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menyebarkan kandungan berunsur lucah, sumbang atau jelik melampau,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mewajibkan platform dalam talian serta penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah proaktif bagi mencegah penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk bahan lucah, tidak senonoh dan penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun platform X bukan penyedia perkhidmatan berlesen pada masa ini, MCMC menegaskan platform tersebut tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan berbahaya.
“Pihaknya sedang menyiasat kes kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform berkenaan dan akan memanggil wakil platform terbabit. MCMC menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang negara serta piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej,” kata kenyataan itu lagi.
Pengguna internet dan mangsa turut dinasihatkan agar melaporkan sebarang kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC.