KUALA LUMPUR, 27 Jun- Sebanyak 549 laman sesawang bersifat lucah dan satu laman sesawang bersifat sumbang telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari sehingga 1 Jun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan tindakan yang diambil adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam.
Tegasnya, kementerian komited memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan selesa untuk semua pengguna internet.
Tindakan akan diambil terhadap kandungan dalam talian yang dikenal pasti telah melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Selain daripada tindakan sekatan laman sesawang, MCMC turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan tindakan penurunan kandungan dengan kerjasama platform media sosial seperti Tumblr, X, Telegram, Facebook, Instagram, WhatsApp, Tik Tok dan lain-lain.
"Dalam tempoh yang sama, 308 kandungan berunsur lucah dan 29 kandungan media sosial yang berunsur sumbang telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang telah dilakukan", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, sebanyak 19 laman sesawang disekat dan 23 kandungan telah diturunkan khusus berkaitan penjualan dan mempromosikan produk berkaitan seks dan ubat kuat seks.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail yang meminta kementerian menyatakan tindakan yang diambil dengan tersiarnya video dan gambar lucah di dalam platform media sosial yang kebanyakannya untuk mempromosikan produk berkaitan seks dan ubat kuat seks.