MCMC buka 42 siasatan berita palsu krisis tenaga, Asia Barat

Foto FB Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

PUTRAJAYA, 8 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka 42 kertas siasatan berkaitan penyebaran maklumat palsu mengenai krisis tenaga global dan krisis Asia Barat yang tular di media sosial serta platform digital, setakat jam 3.00 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 31 kandungan melibatkan berita palsu mengenai kos bahan api.
  • Seruan kepada rakyat terutama umat Islam untuk mengamalkan tabayyun dan semak sumber sebelum berkongsi maklumat.
  • MCMC membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu; 154 telah diturunkan, selebihnya masih disiasat platform.
  • 22 individu dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 31 kandungan melibatkan berita palsu berhubung kos bahan api.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Islam, agar mengamalkan tabayyun apabila menerima sesuatu maklumat.

Tegasnya, setiap maklumat perlu disemak sumbernya serta dipastikan kesahihannya sebelum dikongsi di media sosial atau mana-mana platform digital.

“Dalam keadaan dunia berdepan cabaran semasa, terdapat pihak tertentu yang menyebarkan pelbagai maklumat tidak sahih semata-mata untuk meraih perhatian dan pengaruh.

“Selain itu, orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi sebarang maklumat selagi kesahihan dan kebenarannya belum dipastikan. Sebaliknya, rujuklah sumber rasmi serta pihak berwajib bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata MCMC turut membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu dari pelbagai platform digital.

Sementara itu, 154 daripada jumlah itu telah diturunkan oleh penyedia platform manakala selebihnya masih dalam siasatan platform terbabit.

Selain itu, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil setakat ini untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.