BERA, 11 Jun - Mayat seorang wanita yang hanyut bersama kereta dinaiki ketika sedang menemani suaminya memancing di Sungai Triang, Bera, Pahang, ditemukan lemas pada 8.40 pagi tadi.
Mayat, Sakirah Akop, 31 tahun, ditemukan orang awam yang sedang memancing pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung berdekatan akar sawit.
"Pasukan bomba telah menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut." katanya.
Seramai 105 anggota terdiri daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.