fb fb fb fb fb

Mayat pemuda terjatuh dari Jambatan Putra ditemukan terapung

Mayat Ahmad Afzan Syahmi Zabidi, 22, ditemukan sekitar pukul 8.15 pagi tadi/Foto Bomba

KUANTAN, 5 Mac – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Putra ke dalam Sungai Kuantan pada Isnin ditemukan terapung pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Afzan Syahmi Zabidi, 22, ditemukan sekitar pukul 8.15 pagi.

Mayat ditemukan terapung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pihaknya mendapat panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada 10.48 malam Isnin lalu.

Semalam, tular di media sosial apabila sebuah motosikal yang ditinggalkan di atas jambatan dengan enjin masih hidup, serta sebuah telefon bimbit yang dalam keadaan membuat panggilan video.

Saksi yang menyedari keadaan mencurigakan itu segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk melaporkan insiden berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sejak malam tadi dengan kerjasama beberapa agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Misi pencarian turut dibantu oleh dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 JBPM, Frankie dan Denti.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN