PUTRAJAYA, 3 Oktober- Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) mengecam keras tindakan biadap rejim Israel yang menyekat konvoi Global Sumud Flotilla ke Gaza sehingga menahan aktivis dan sukarelawan, termasuk wanita dari Malaysia dan antarabangsa.
Pengerusinya. Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain, menerusi satu kenyataan menegaskan, konvoi itu bukan sahaja membawa bantuan kemanusiaan, tetapi turut mengangkat mesej solidariti, kasih sayang dan harapan umat manusia terhadap rakyat Palestin yang terus ditindas.
Sebagai organisasi wanita Islam, MAWIM menekankan peranan penting kaum wanita dalam memperjuangkan isu kemanusiaan melalui advokasi, solidariti, sokongan psikososial dan penglibatan langsung di lapangan konflik.
MAWIM turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri yang konsisten menyokong konvoi Global Sumud Nusantara serta usaha antarabangsa menentang kekejaman Israel.
MAWIM menyeru seluruh masyarakat, khususnya wanita Islam, agar terus bersolidariti membela rakyat Palestin tanpa mengira bangsa dan agama, selain berdoa agar Allah SWT melindungi para sukarelawan serta meringankan penderitaan rakyat Gaza.