fb fb fb fb fb

Masjid Negara Hidupkan Syiar Aidiladha dengan 35 Haiwan Korban

Ibadah korban di Masjid Negara / RTM

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Masjid Negara melaksanakan ibadah korban melibatkan sebanyak 35 ekor haiwan, terdiri daripada 14 ekor lembu dan 21 ekor kambing.

Ibadah korban dimulakan sejurus selepas solat sunat Aidiladha yang berlangsung pada pukul 8.10 pagi dan dihadiri oleh ratusan jemaah dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pada hari pertama ini, sebanyak 4 ekor lembu dan kesemua 21 ekor kambing telah dikorbankan. Proses penyembelihan dan pengurusan korban hari ini dilaksanakan sepenuhnya oleh kakitangan Masjid Negara, sebagai persediaan untuk acara korban utama yang akan berlangsung esok.

Manakala, baki 10 ekor lembu akan dikorbankan esok dalam satu majlis yang lebih besar, dengan penglibatan sukarelawan yang telah dilantik bagi membantu proses penyembelihan, pelapahan, dan pengagihan daging kepada golongan asnaf dan masyarakat sekitar.

Pengarah Program Ibadah Korban Masjid Negara, Ustaz Mohamad Nadzri Mustakim, ketika ditemui berkata bahawa terdapat kelainan yang ketara dalam pelaksanaan ibadah korban tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini, 40% daripada peserta yang mengambil bahagian dalam program korban adalah warga asing.

"Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif kerana ia menunjukkan bahawa Masjid Negara semakin mendapat kepercayaan daripada pelancong dan masyarakat luar yang mahu melihat secara langsung proses ibadah korban ini,”katanya kepada wartawan RTM sebelum ibadah korban dijalankan.

Menurut beliau lagi, kehadiran peserta dan pemerhati luar ini memberi gambaran bahawa ibadah korban bukan sahaja menjadi satu amalan keagamaan, tetapi juga satu bentuk dakwah dan diplomasi yang mampu mengharumkan nama negara.

“Kita harap usaha ini dapat menunjukkan kepada dunia bahawa inilah ibadah tahunan yang kita laksanakan untuk sekurang-kurangnya mengurangkan beban fakir miskin di luar sana,” katanya.

Pengurusan Masjid Negara turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang serta petugas yang menjayakan program korban ini dan menyeru umat Islam agar terus menjiwai semangat pengorbanan serta memperkukuh ukhuwah sesama insan sempena hari yang penuh barakah ini.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID